PAS Pahang tiada sebarang masalah menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), walaupun parti itu memutuskan kekal menggunakan logo bulan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar, berkata logo PN sudah dikenali rakyat dan mampu menarik golongan muda.
“Logo PN juga dijangka dapat menarik golongan-golongan muda, ini dapat dilihat dengan berlakunya pertambahan mendadak pengundi muda pada PRN Melaka dan Johor.
“Logo PN juga dilihat sebagai logo perpaduan kerana ianya gabungan parti Melayu Islam dan pelbagai bangsa dan agama bersesuaian dengan masyarakat majmuk di Malaysia, ianya dapat menarik pelbagai golongan,” katanya kepada FMT.
Beliau juga yakin pengerusi PN pernah mentadbir negara dan menjadi antara penarik rakyat menyokong gabungan itu pada PRU15 kelak.
Rosli yang juga penyandang DUN Tanjung Lumpur berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan PAS menggunakan lambang bulan di tiga negeri pimpinan parti itu sementara negeri lain mereka akan bertanding atas logo PN.
Sebelum ini Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, semua calon PN akan menggunakan lambang “bulan” di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU15 dan perkara itu sudah mendapat “lampu hijau” dan kelulusan daripada gabungan itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.