Kes Roger Ng: Hakim minta pendakwaan dapatkan arahan Jabatan Peguam Negara

0
166

HAKIM Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminta pihak pendakwaan mendapatkan arahan sewajarnya daripada Jabatan Peguam Negara berhubung kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa agar kes tersebut tidak tergantung terlalu lama.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menyatakan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan bahawa Ng, yang turut dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diserahkan sementara ke Amerika Syarikat (AS) sehingga 28 Feb 2024 bagi menyelesaikan semua proses rayuan kes jenayah yang dihadapinya di mahkamah negara itu.

“Kalau kes ini ditangguhkan selepas Februari 2024 ia terlalu lama, mungkin pihak pendakwaan boleh mendapatkan arahan sewajarnya daripada pihak Peguam Negara atau pendakwaan,” kata hakim itu.

Muhammad Jamil menetapkan pengurusan kes pada 10 Jan tahun depan untuk pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah arahan yang sewajarnya berkenaan kes itu supaya ia tidak tergantung terlalu lama tanpa sebarang tindakan.

Terdahulu, Zaki berkata perbicaraan kes jenayah yang dihadapi Ng di mahkamah di AS telah selesai dan proses hukuman yang sepatutnya dijalankan pada 9 Nov ditangguhkan kepada 9 Dis ini.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Ng berkata kedua-dua kerajaan (Malaysia dan AS) telah mencapai persetujuan untuk anak guamnya diserahkan ke negara itu (AS) sehingga 28 Feb 2024.

“Saya cadangkan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada Januari atau Februari 2023 kerana proses hukuman telah ditetapkan oleh Mahkamah Eastern District of New York pada 9 Dis,” katanya.

Pada 8 April lepas, Ng didapati bersalah oleh mahkamah di AS kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1MDB bagaimanapun hukuman terhadapnya masih belum diputuskan.

Pada 19 Dis 2018, Ng mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan bon 1MDB bernilai US$6.5 bilion dengan menggugurkan fakta material dan membuat kenyataan palsu.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat 1MDB, Tingkat 8, Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini antara 19 Mac 2012 dan 11 Nov 2013.

Pada 4 Sept 2021, pertuduhan terhadap Goldman Sachs International Ltd dan dua entitinya di Asia iaitu Goldman Sachs (Asia) LLC dan Goldman Sachs (Singapura) digugurkan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menarik balik pertuduhan berhubung penjualan bon 1MDB bernilai US$6.5 bilion.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here