Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis buru penyamun bersenjata parang di Klang -

Polis buru penyamun bersenjata parang di Klang

POLIS sedang memburu sekumpulan penjenayah yang terlibat dalam dua kes samun bersenjatakan parang di Taman Intan, Kapar dan di tepi jalan berhampiran Taman Klang Utama, Bukit Raja,Klang pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 3.05 petang di sebuah rumah di Taman Intan, Kapar.

Menurutnya, berdasarkan siasatan dijalankan ketika kejadian, seorang wanita sedang mengemas rumahnya dalam keadaan pintu dan pagar terbuka.

“Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi menunjukkan sebuah kereta Proton Waja yang dinaiki empat lelaki bersenjatakan parang telah keluar dari kereta tersebut.

“Mangsa yang ketika itu sedang mengemas di bahagian dapur rumah telah disamun libat tiga rantai emas oleh suspek terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, sejurus selepas kejadian pertama, satu lagi kejadian samun dilaporkan berlaku pada jam 3.20 petang di Taman Klang Utama, Bukit Raja.

Beliau berkata, dalam kejadian terbabit, mangsa iaitu dua lelaki warga tempatan ditahan oleh sekumpulan individu yang menaiki sebuah kereta Proton Waja.

“Suspek kemudian bertindak meragut dua utas rantai emas yang dipakai mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurutnya, polis sedang menjalankan usaha bagi memburu suspek-suspek terlibat dan kes disiasat bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nur Saiful Hazwan Mohamad Ridzuan di talian 016-7404177.

Pada Isnin, tular video di media sosial dipercayai rakaman CCTV yang memaparkan satu kejadian samun di sebuah rumah di sekitar Klang.