Saya tidak akan naik ke pentas politik – Cikgu Fadli

0
313

“SAYA tidak akan sesekali melangkah naik ke atas pentas politik mana-mana pihak,” demikian tegas guru Matematik, Mohd Fadli Mohamed Salleh yang sebelum ini mendakwa bakal dikenakan tindakan tatatertib susulan pandangannya mengenai sistem pendidikan.

Fadli berkata, meskipun kesnya mendapat perhatian beberapa pemimpin politik namun namun beliau tetap dengan pendirian untuk tidak membiarkan dirinya menjadi bahan politik oleh mana-mana pihak.

“Untuk heret saya naik ke pentas politik kalian, tidak sama sekali. Tak kira parti mana, Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), atau mana-mana sekali pun, saya takkan hadiri,” katanya di Facebook, lapor FMT.

Sebaliknya, dia menyokong jika ada pemimpin atau tokoh politik mengangkat isu dalam sistem pendidikan demi untuk masa depan rakyat dan bukanlah semata-mata alat untuk meraih undi.

“Cuma saya bukan anak kecil yang boleh diperguna oleh mana-mana pihak. Saya tidak teruja dengan tawaran wang ringgit, pangkat dan kedudukan.

“Silakan guna isu pendidikan atas pentas politik dan ceramah berapi kalian. Sila realisasikan setiap cadangan baik dan bernas untuk kebaikan rakyat Malaysia,” katanya.

Fadli berkata dia bimbang perjuangan dalam membela nasib pelajar dan guru disalah tafsir jika mula melibatkan diri dalam arena politik.

“Cukuplah saya berjuang dengan cara saya begini. Sebaik saya melangkah naik pentas politik mana-mana pihak kerana teruja dengan kemasyhuran, teruja dengan janji manis orang politik, saat itu saya tewas dengan diri sendiri.

“Saat itu orang akan meludah dan mengeji walau sebahagian lain memuja muji. Saat itu orang akan simpulkan perjuangan saya ada niat tersembunyi,” katanya.

Sabtu lalu, Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) membabitkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Menurut surat yang dimuat naik guru berkenaan, dia diberikan tempoh 21 hari untuk mengemukakan representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan bagi membela diri.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin dilaporkan menyatakan kesediaan untuk berjumpa guru itu, dan pada masa yang sama KPM turut menjelaskan surat yang dihantar kepada Mohd Fadli bukan surat jatuh hukum seperti tular di media sosial.

Ketua Pengarah KPM, Pkharuddin Ghazali dilaporkan berkata, surat terbabit adalah pemakluman kepada guru terbabit supaya memberi penjelasan bertulis mengenai dakwaan yang diterima Lembaga Tatatertib serta keperluan guru berkenaan mengemukakan representasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here