JELAJAH Prihatin Perikatan Nasional (PN) pertama yang diadakan di Tasek Gelugor, Pulau Pinang menerima sambutan yang luar biasa dengan kehadiran lebih 4,000 orang awam.
Namun, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ketakutan musuh politik PN dengan pelbagai cara cuba untuk sabotaj majlis itu.
“Mereka cuba sabotaj Jelajah Prihatin Tasek Gelugor dengan pelbagai cara, termasuklah cuba menggunakan pihak berkuasa sebagai cubaan untuk menyekat kami.
“Tetapi alhamdulillah hasil usaha Abang Azmi Alang selaku Pengarah program dan Ketua Bahagian, dan bantuan rakan-rakan dari PN, kita dapat selesaikan dan hadapi percubaan sabotaj itu,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Isnin.
Jelajah Prihatin PN menyaksikan seramai 4,000 penduduk Tasek Gelugor hadir bagi mendengar amanat para pemimpin Perikatan Nasional untuk pengundi Tasek Gelugor.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Bahagian BERSATU Tasek Gelugor, Azmi Alang; Presiden GERAKAN Senator Datuk Dr Dominic Lau; dan Yang Dipertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Saleh.
Mengulas lanjut katanya, percubaan sabotaj itu membuktikan mereka kehabisan modal untuk menyekat kemaraan PN.
“Kita telah tunjukkan kepada rakyat bahawa di bawah Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin benar-benar memberi fokus kepada kebajikan rakyat.
“Semua lapisan rakyat dapat bantuan. Kita utamakan rakyat, bukan mahu menyelamatkan diri sendiri sahaja,” katanya.
Dalam pada itu Wan Saiful berkata, dalam menyelesaikan masalah serta menjaga kebajikan rakyat memerlukan kerajaan yang bersih, prihatin serta cekap.
“In semua memerlukan kerajaan yang prihatin, kerajaan yang cekap, dan kerajaan yang bersih untuk selesaikan, dan pastikan fokus kita ialah rakyat.
“Bukan fokus kepada individu yang tergila-gilakan jawatan Perdana Menteri, dan bukan fokus kepada lari dari kes mahkamah,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.