Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lapan barangan tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali -

Lapan barangan tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan lapan barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022. 

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof dalam kenyataan hari ini memaklumkan skim harga maksimum itu berkuat kuasa 20 hingga 26 Okt ini, dengan barangan tersenarai adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, cili merah dan kelapa biji (harga maksimum di peringkat borong sahaja).

Ia juga termasuk kelapa parut (harga maksimum di peringkat runcit sahaja), bawang merah kecil (India), bawang merah besar import dan kacang dal (Australia).

“Tempoh pelaksanaan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa pada masa kini, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga berpuas hati dengan tempoh masa pelaksanaan yang efektif.

“Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membolehkan penentuan harga dibuat ke atas peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit,” katanya.

Beliau memaklumkan semakan harga boleh dibuat melalui laman web KPDNHEP di https://www.kpdnhep.gov.my.

Sementara itu, Azman berkata ayam dan telur ayam kekal sebagai barangan harga terkawal dan berkuat kuasa mulai 12 Okt.

Antara barangan harga terkawal bagi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam adalah ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) dan telur ayam gred A, B serta C. 

Beliau turut meminta pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan salah laku peniaga supaya melaporkan aduan kepada KPDNHEP sama ada menerusi WhatsApp di 019-2794317/019-8488000, portal e-aduan.kpdnhep.gov.my, pusat panggilan di 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU. – BERNAMA