POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dilapor mencadangkan Tan Sri Tommy Thomas didakwa di mahkamah, dan telah mengemukakan empat kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara itu.
Mingguan Malaysia yang memetik sumber memberitahu, polis pada mulanya membuka lima kertas siasatan terhadap Tommy, namun hanya empat yang diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sumber itu dilaporkan berkata polis sedang menunggu maklum balas daripada DPP yang meneliti fakta kes dan menyemak kertas siasatan beserta cadangan empat pertuduhan yang dikemukakan sama ada diterima atau sebaliknya.
“Pegawai penyiasat kes berkenaan juga sudah mengadakan perbincangan dengan DPP dan masih menunggu maklum balas daripada pihak tersebut,” kata sumber itu seperti dilaporkan akhbar berkenaan.
Sumber itu juga dipetik sebagai berkata, cadangan pertuduhan dikemukakan polis seperti yang terkandung dalam buku laporan Pasukan Petugas Khas bertajuk Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk My Story: Justice In The Wilderness Tulisan YBhg. Tan Sri Tommy Thomas, Bekas Peguam Negara, yang dinyahsulit kerajaan.
Menerusi laporan tersebut, Pasukan Petugas Khas mendapati Tommy mungkin melakukan kesalahan di bawah Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; dan di bawah peraturan, prosedur serta pekeliling Kerajaan.
Khamis lalu, media memetik laporan pasukan penyiasat setebal 822 muka surat yang dibentangkan kepada Kabinet pada 30 September lalu.
Antara lain, laporan menyatakan Tommy tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan AGC dan satu-satunya penyelesaian yang diambilnya untuk menangani kelemahannya ialah melantik peguam luar.
Sementara itu, Mingguan Malaysia juga memetik bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman sebagai berkata, laporan Pasukan Petugas Khas yang menyenaraikan sembilan elemen kemungkinan salah laku Tommy tidak cukup membuktikan beliau bersalah atau sebaliknya.
Ini kerana, menurut beliau, selaras prinsip undang-undang yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak didapati bersalah selagi belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.
“Justeru, kini terserah kepada AGC untuk membawa kes ke mahkamah dengan mendakwa Tommy jika mendapati wujud elemen salah laku. Jika Tommy dihadapkan ke mahkamah sekali pun, beliau belum bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.
“Walaupun pasukan khas merumuskan kewujudan salah laku, tidak boleh menyimpulkan Tommy bersalah kerana yang akhirnya menentukan adalah mahkamah. Mungkin bagi Tommy, beliau tidak bersalah, sebaliknya pihak lain cakap bersalah, jadi adalah sukar membuat keputusan membabitkan satu pihak,” kata beliau.
Selain itu, kata Abu Talib, masih terlalu awal untuk membuat rumusan terhadap kesan dan kedudukan pelantikan hakim susulan laporan Pasukan Petugas Khas itu menyebut wujudnya campur tangan dalam pelantikan hakim-hakim kerana sebarang keputusan hendaklah diambil selepas Tommy disahkan bersalah.
“Begitu juga dengan dakwaan membocorkan rahsia kerajaan dan menyalah guna kuasa melantik peguam luar, sebarang kelemahan dan penambahbaikan perlu diteliti selanjutnya oleh kerajaan selepas keputusan mahkamah,” ujarnya.
Ditanya keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), Abu Talib memberitahu, menubuhkan badan atau pasukan siasatan khas hanya sia-sia sekiranya tiada keputusan diambil oleh kerajaan.
Katanya, sebelum ini terdapat banyak RCI yang diwujudkan bagi mencari penemuan kes tertentu tetapi semua tidak ‘berlaku apa-apa’ kerana kerajaan gagal membawa pesalah ke muka pengadilan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.