[VIDEO] Penyamun 15 rekod jenayah direman enam hari

0
416

SEORANG lelaki yang memiliki 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah terbukti tidak serik apabila sekali lagi ditahan kerana terbabit kes samun di Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

Suspek ditahan jam 7.30 pagi tadi selepas menyamun seorang wanita menggunakan senjata di kawasan pusat bandar Kuala Kangsar semalam yang mengakibatkan kerugian RM4,000.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, mengesahkan penahanan suspek bersama barang kes termasuk motosikal yang digunakan sewaktu kejadian.

Malah, beliau berkata pihaknya percaya suspek turut mempunyai kaitan dengan dengan satu lagi kes cubaan samun di sekitar pusat bandar ini yang mana videonya turut tular di media sosial.

“Berdasarkan siasatan, suspek dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal digunakannya semasa kejadian.

“Sehingga kini suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 19 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak bersenjata,” katanya melalui kenyataan, lapor BH Online.

Di samping itu, Omar berkata, pihaknya turut menyiasat kaitan suspek dengan satu kes cubaan samun di lokasi lain dan mangsa kes itu juga sudah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan. Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Persiaran Bendahara, di sini memaparkan seorang lelaki bermotosikal cuba meragut beg tangan seorang wanita, namun cubaannya gagal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here