Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pasangan suami isteri ditahan miliki makmal proses dadah -

Pasangan suami isteri ditahan miliki makmal proses dadah

KEGIATAN pasangan suami isteri terbongkar selepas sebuah rumah sewa di Balik Pulau, Pulau Pinang yang menjadi makmal memproses dadah diserbu polis dalam dua serbuan , Selasa lalu.

Serbuan membabitkan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan BSJN IPD Barat Daya itu turut merampas dadah serta peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM81,330.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata serbuan pertama dilakukan di tepi jalan di Gelugor pada kira-kira jam 8.30 malam dan menahan lelaki warga tempatan berusia 43 tahun bersama isterinya warga asing berusia 30 tahun serta empat paket plastik lut sinar disyaki mengandungi heroin.

“Siasatan lanjut dengan dipandu arah suspek lelaki membawa ke sebuah rumah di Kampung Bukit, Bayan Lepas, di sini, pada jam 10.30 malam yang dijadikan makmal memproses heroin.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin, pil yaba dan serbuk disyaki kafein, selain peralatan serta bahan kimia bagi memproses dadah,” katanya lapor Berita Harian pada sidang media di IPD Barat Daya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal Januari lalu bagi pasaran tempatan.

Katanya, pada tempoh sama, rumah berkenaan juga disewa bagi dijadikan makmal dan keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan seramai 24,197 penagih.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki yang juga penyembelih ayam didapati positif dadah dan mempunyai rekod lampau berkait jenayah.

“Kedua-duanya direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari sehingga 17 Oktober ini bagi tujuan siasatan.

“Polis masih menyiasat bagaimana mereka mempelajari cara membuat dadah, selain mengenal pasti pembekal bahan berkenaan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 susulan rampasan kenderaan bernilai RM27,000.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan berjumlah RM108,330.

Sementara itu, Soffian berkata, sejak 1 Januari hingga 30 September lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut sudah menahan 2,291 individu terbabit kesalahan dadah.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 585 terbabit dengan bekalan dan memiliki dadah (1,037), Akta Racun (105), penagih (543) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) (21)