Lelaki maut tersepit dalam Myvi

SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Pekan, awal pagi tadi.

Kemalangan pada pukul 1.27 pagi itu mengakibatkan mangsa tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi dipandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler dilaporkan selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, susulan kejadian, enam anggota termasuk seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Operasi turut dibantu enam anggota bomba dari BBP Muadzam Shah. Anggota yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa berjaya dikeluarkan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Zulfadli berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.