Kes SRC: Permohonan Najib semak keputusan Mahkamah Persekutuan tidak bermerit – Pendakwaan

0
122

PIHAK pendakwaan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd mendakwa bekas perdana menteri itu diberikan perbicaraan adil dan tiada pratimbangan dalam rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dipohon Najib di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 tidak mempunyai merit dan digunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan serta penyalahgunaan proses mahkamah.

“Pendapat pemohon (Najib) bahawa kes ini merupakan kes yang sesuai dan sewajarnya untuk Mahkamah Persekutuan menggunakan kuasa dan bidang kuasa sedia ada di bawah Peraturan 137 adalah salah dan tidak bermerit.

“Fakta dan hal keadaan kes ini tidak membolehkan penggunaan Peraturan 137 memandangkan kes ini tidak menunjukkan hal keadaan yang luar biasa untuk semakan dilakukan kecuali bidang kuasa ini disalahgunakan sebagai laluan untuk rayuan lanjutan,” katanya dalam afidavit jawapan difailkan untuk menjawab afidavit sokongan Najib yang diikrarkan pada 6 Sept lepas.

Mohd Ashrof, yang memfailkan afidavit jawapan itu pada 7 Okt lepas, berkata bidang kuasa sedia ada pada mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan berdasarkan merit sebaliknya akan menyebabkan tiada proses litigasi yang muktamad.

“Kes ini (semakan Najib) bukanlah kes luar biasa yang semakan semula boleh dibenarkan. Oleh itu permohonan semakan ini wajar ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Mohd Ashrof berkata tiada alasan untuk pemohon terperanjat atau terkejut apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.

Katanya, Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak berlebihan dan mengesahkan sabitan dan hukuman. 

“Pihak responden (Timbalan Pendakwa Raya) juga tidak mencabar kadar hukuman dikenakan ke atas pemohon. Oleh itu, saya menyatakan bahawa tiada apa-apa tidak sah di sisi undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung hukuman dikenakan ke atas pemohon oleh Mahkamah Persekutuan,” kata Mohd Ashrof.

Najib, 69, memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya itu kerana menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Beliau turut memohon agar diberi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lepas yang menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atau penjara lima tahun.

Secara alternatif, Najib memohon agar rayuan itu didengar semula oleh korum Mahkamah Persekutuan yang baharu dan terdiri sekurang-kurangnya daripada tujuh hakim.

Najib, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, juga memohon penangguhan pelaksanaan sabitan dan hukuman sementara menunggu pendengaran permohonan semakan itu.

Afidavit Najib yang difailkan bagi menyokong permohonan itu menyatakan bahawa beliau benar-benar percaya dan telah dinasihatkan oleh peguam caranya bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan boleh disemak mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here