GERAKAN Pulau Pinang hantar senarai calon untuk tapisan SPRM, PDRM 

0
216

GERAKAN Pulau Pinang akan menghantar senarai nama calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada minggu depan.

Timbalan Presiden yang juga Pengerusi GERAKAN negeri, Oh Tong Keong, berkata senarai calon itu terlebih dulu akan dikemukakan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu ini.

“(Langkah) ini kita sudah mula di Melaka dan Johor dan sudah ada senarai yang dihantar kepada SPRM dan PDRM untuk tapisan, cuma di Pulau Pinang belum lagi.

“Jadi, mesyuarat pada Sabtu ini bertujuan menyelesaikan perkara berkaitan PRU-15 yang kita jangka akan selesai pada minggu ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini, lapor BH Online.

Tong Keong berkata, GERAKAN Pulau Pinang juga akan membawa suara akar umbi berhubung penggunaan logo sendiri pada mesyuarat berkenaan. 

Katanya, ia memandangkan warna logo PN dan Barisan Nasional (BN) yang hampir sama dikhuatiri akan mengelirukan serta boleh menjadi punca penolakan pengundi pada PRU-15.

“Perkara ini disuarakan akar umbi daripada cawangan dan bahagian pada Persidangan GERAKAN negeri baru-baru ini kerana kebanyakan pengundi tidak tahu GERAKAN sudah keluar BN.

“Jadi, kami akan terus membincangkan perkara ini dan akan melihat apa keputusan akhir yang akan dicapai kerana belum ada mesyuarat pada peringkat pusat untuk bincang sama ada mahu guna logo GERAKAN atau PN,” katanya.

Mengenai pembahagian kerusi, GERAKAN Pulau Pinang menjangka akan bertanding lebih 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lebih empat kerusi Parlimen, namun perkara itu akan diputuskan oleh pucuk pimpinan.

“Pada PRU-14 GERAKAN Pulau Pinang bertanding 13 kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen, tetapi penggal ini dalam gabungan baharu bilangan kerusi dijangka akan bertambah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here