SPRM Sabah tahan wanita cuba sogok pegawai PGA

0
215

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang wanita dipercayai cuba menyogok pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang cuba membawa keluar barang kawalan ke negara jiran.

Wanita tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 5.40 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Tawau.

Menurut sumber, wanita itu dipercayai memberi rasuah kira-kira RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking, Semporna.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S.Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan RM2,000 serta seorang penjamin pada hari sama.

Katanya penahanan ke atas wanita itu merupakan kerjasama antara PGA dan SPRM Sabah Cawangan Tawau dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya tidak menawar atau memberi sebarang sogokan kepada pejawat awam khususnya pegawai penguat kuasa manakala penjawat awam wajib membuat laporan apabila berdepan jenayah itu mengikut Akta SPRM 2009. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here