BN ambil kesempatan adakan PRU-15 semasa banjir

0
239

Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

BARISAN Nasional (BN) mengambil kesempatan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam musim banjir supaya bantuan kepada mangsa banjir nanti akan memberi kelebihan dan keuntungan politik kepada mereka semasa berkempen.

Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim berkata, itu merupakan strategi licik BN dalam usaha meraih undi.

Bagaimanapun Penyelaras Parlimen Parit Sulong itu berkata, keputusan sudah dibuat dan PRU15 perlu diadakan juga dalam musim tengkujuh.

“Parlimen telah dibubarkan dan rakyat serta parti-parti politik tidak ada pilihan lain dan terpaksa mengharungi pilihanraya umum ini dengan pelbagai kesulitan.

“Saya ingin menyeru kepada semua rakyat agar sentiasa berwaspada dimusim tengkujuh yang bakal tiba.

“Pada masa sama, teruskan kewajipan semua sebagai warganegara yang prihatin untuk beramai-ramai keluar mengundi dan memilih parti yang benar-benar bersih untuk ditabalkan menjadi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menghormati hak Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen kerana itu sudah ditetapkan dalam proses politik negara ini.

Namun demikian katanya, seluruh rakyat merasa sedikit terkilan dengan keputusan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tidak menghiraukan keresahan rakyat memandangkan musim banjir akan tiba bila-bila masa malah di beberapa kawasan sudah banjir.

Parlimen sah dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Pengumuman tersebut sekali gus menjawab spekulasi sejak minggu lalu bahawa Parlimen akan dibubarkan.

Dalam perutusan khas pada jam 3 petang semalam, Ismail Sabri memaklumkan perkara itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here