Rasuah polis RM50, warga Bangladesh didenda RM3,000

0
194

SEORANG pekerja ladang warganegara Bangladesh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada seorang anggota polis trafik berpangkat sarjan, tahun lepas.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Khan Obaydul, 30, yang mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM50 kepada anggota polis berkenaan sebagai balasan untuk melepaskannya daripada diambil tindakan undang-undang kerana tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.

Khan Obaydul yang memakai baju merah mengangguk sewaktu pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Jalan Kampung Muhibbah, Ayer Tawar, dalam Daerah Manjung lebih kurang 2 petang  pada 11 Mei 2021.

Lelaki itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM50 dilucut hak di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kepada kerajaan.

Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan hari ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here