Pendakwaan berjaya timbulkan kes prima facie bagi kes Syed Saddiq

0
217

PASUKAN pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa mereka berjaya menimbulkan prima facie bagi kes subahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan Ahli Parlimen, Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semasa prosiding hujahan di akhir kes pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, sehingga ke saat ini, pihak pembelaan gagal mematahkan kes pendakwaan dan keterangan saksi-saksi kekal kukuh bagi membuktikan kesalahan tersebut.

Dalam kes ini, antara saksi yang hadir memberi keterangan ialah saksi pendakwaan ke-13 (SP-13), bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Rafiq Hakim Razali dan SP-29, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, Asbi Munip.

“Kami menegaskan, pendakwaan tidak perlu membuktikan tertuduh melakukan kesalahan pecah amanah jenayah kerana itu bukan elemen pertuduhan.

“Kami hanya perlu membuktikan tindakan tertuduh mengarahkan pengeluaran wang RM1 juta itu yang termasuk bawah kesalahan bersubahat,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Wan Shaharuddin berkata, mereka hanya perlu menunjukkan setiap tindakan Rafiq Hakim adalah disebabkan arahan yang diberikan oleh tertuduh.

Beliau berkata, Syed Saddiq telah mengarahkan SP-13 itu supaya memindahkan kutipan derma RM1.12 juta daripada akaun Maybank dan CIMB Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) ke akaun Maybank milik tertuduh.

Menurutnya, wang yang dikeluarkan adalah melibatkan jumlah RM120,000 pada April 2018 manakala pada 6 Mac 2020 bernilai RM1 juta.

Bagi kes AMLA pula, Wan Shaharuddin berkata, dua transaksi dilakukan pada 16 dan 19 Jun 2018, masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank milik tertuduh ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya.

“Tertuduh tidak pernah memberitahu tiga saksi termasuk Rafiq Hakim bahawa wang itu digunakan untuk menggantikan perbelanjaan pendahuluan yang dibuat ketika berkempen atau membantu mangsa banjir.

“Terdapat keterangan yang jelas menunjukkan bahawa wang yang diperoleh hasil daripada program-program kutipan derma tersebut tidak pernah digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14),” katanya.

Selain itu Wan Shaharuddin berkata, berdasarkan keterangan Rafiq Hakim dan Asbi memaklumkan bahawa sebarang kutipan derma adalah milik Armada dan bukanlah milik tertuduh.

Malah beliau berkata, wang tersebut dipindahkan ke akaun peribadi tertuduh sebelum PRU-14 diadakan.

Beliau berkata, wang itu kemudiannya dipindahkan ke ASB milik Syed Saddiq untuk pelaburan dan mendapatkan dividen, selepas PRU-14 berlangsung.

“Berdasarkan keterangan saksi juga, Syed Saddiq mengarahkan SP-13 untuk mengosongkan wang kerana tertuduh khuatir wang tersebut akan disita oleh pihak SPRM.

“Susulan itu, saya memohon agar tertuduh dipanggil membela diri terhadap empat pertuduhan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq menghujahkan bahawa, anak guamnya tidak menerima walau satu sen daripada pengeluaran wang RM1 juta dari akaun rasmi sayap parti tersebut.

Sebaliknya, peguam ini berkata, wang itu dibelanjakan untuk program Armada sekali gus tidak melanggar perlembagaan parti berkenaan.

“Rafiq Hakim tidak melakukan kesalahan apabila mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi CIMB Armada, maka Syed Saddiq tidak boleh dikatakan melakukan kesalahan bersubahat,” katanya.

Beliau berkata, pendakwaan mesti membuktikan bahawa tertuduh mempunyai niat tidak jujur apabila didakwa mengarahkan SP-13 itu untuk mengeluarkan wang daripada akaun bank Armada.

Satu-satunya keterangan oleh pendakwaan katanya, membabitkan arahan tertuduh supaya mengosongkan wang yang disangkal, selepas RM250,000 dilaporkan hilang dari rumahnya.

“Oleh itu, adalah wajar untuk menekankan bahawa saksi itu telah memberikan keterangan yang bercanggah.

“Semasa pemeriksaan balas pada 6 Julai lalu, dia berulang kali menyatakan tidak ingat jika tertuduh secara khusus menggunakan perkataankosongkan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here