EISKL mampu jadi ekspo sukan terkemuka dunia

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) yakin penganjuran Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) akan menjadi pemangkin kepada semua penggiat dan pemain industri untuk bersama membangunkan industri sukan secara lebih tersusun.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata EISKL bukan sekadar acara melengkapkan kalendar tahunan tetapi bagaimana ia menjadi platform utama bagi pemegang taruh serta masyarakat untuk terus mempelopori industri sukan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, penganjuran acara berkenaan bukan sahaja bertujuan memastikan kemampanan industri sukan semata-mata tetapi lebih penting adalah matlamat bagi menjadikan ia sebagai antara penyumbang terbesar kepada pembangunan ekonomi negara dan sosio-ekonomi rakyat.

“Kini, terdapat beberapa negara sudah pun menganjurkan ekspo sukan dan berjaya memberi pulangan yang sangat memberangsangkan. Contohnya seperti Munich ISPO, Beijing ISPO, PGA Expo dan FSB Cologne Sport Expo.

“Maka, saya yakin EISKL juga mampu untuk menjadi salah satu ekspo sukan terkemuka dunia sekaligus memartabatkan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di persada antarabangsa.

“Insha-Allah, usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Industri Sukan juga boleh direalisasikan yang mana apa jua acara bertaraf dunia boleh dianjurkan di KLSC.

“Paling penting adalah usaha untuk menjadikan bidang sukan bersifat komersial, dinamik dan progresif selain memberi nilai tambah terhadap pembangunan sektor ekonomi negara,” katanya ketika berucap merasmikan dan Persidangan Industri Sukan Kebangsaan 2022 di sini, hari ini memetik laporan Berita Bersatu.

Ahmad Faizal, berkata laporan Jabatan Perangkaan menunjukkan nilai industri sukan bagi tahun 2017 adalah sebanyak RM18.8 bilion.

Katanya, jumlah berkenaan terus meningkat saban tahun dan ia terbukti yang mana sejak dari tahun 2018 sehingga 2021, nilai jualan barangan sukan dan rekreasi sudah pun mencecah lebih RM845 juta.

“Penganjuran EISKL 2022 diharap menjadi perintis bagi menggalakkan aktiviti perniagaan sukan di Malaysia. Ia merupakan susun atur awal untuk KBS menonjolkan potensi dan sumbangan industri sukan terhadap pembangunan ekonomi negara,” katanya.

EISKL 2022 menghimpunkan semua penggiat dan pemain industri sukan yang terdiri daripada pelbagai segmen seperti peruncitan, pembuatan barangan sukan, pembinaan fasiliti, media, teknologi, perubatan sukan, pelancongan, pendidikan serta pengurusan venue dan acara.

Terdapat sebanyak 110 ruang pameran disediakan buat pempamer yang terdiri daripada 65 organisasi awam dan swasta.