Oleh WARTAWAN SATU BERITA
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menaikkan harga dan cukai rokok menerusi Bajet 2023 yang akan dibentangkan esok.
Pegawai Pendidikan CAP, S. V. Subbarow berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan amalan atau tabiat merokok dalam kalangan rakyat khususnya golongan muda sekali gus dapat mengelakkan risiko pelbagai penyakit berkaitan.
Menurut beliau, statistik menunjukkan negara ketika ini mempunyai kira-kira tujuh juta perokok manakala kerajaan terpaksa membelanjakan sebanyak RM6.2 bilion untuk merawat tiga penyakit utama berkaitan tabiat merokok pada 2020.
“Sehubungan itu, jika berlaku kenaikan harga rokok, maka jumlah perokok akan berkurangan.
“Bukti menunjukkan kenaikan harga rokok akan mengurangkan penggunaan rokok dan dalam jangka panjang, perokok lebih cenderung untuk berhenti merokok.
“Ketika ini dianggarkan juga kira-kira 20,000 kematian dilaporkan disebabkan merokok setiap tahun di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Subbarow, tinjauan CAP menunjukkan seorang perokok membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk pembelian rokok dengan kebanyakan mereka daripada kumpulan B40.
Sehubungan itu tambah beliau, sekiranya kerajaan menaikkan cukai dan harga rokok, maka amalan menghisap rokok akan mula berkurangan termasuk risiko penyakit yang dihadapi.
“Kesannya, perokok tegar akan berfikir panjang untuk membeli sekotak rokok berikutan harganya yang tinggi selain menganggapnya sebagai barang mewah atau eksklusif yang sukar atau mustahil diperoleh,” ujarnya.
Tambah beliau, antara negara yang telah menguatkuasakan kenaikan cukai rokok termasuk Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.