Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis selamatkan warga Palestin diculik, 18 individu ditahan -

Polis selamatkan warga Palestin diculik, 18 individu ditahan

POLIS menyelamatkan seorang lelaki warga Palestin, sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur pada 29 September lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata mangsa yang berusia 31 tahun diselamatkan selepas pihaknya menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 Sept hingga semalam.

“Kesemua 18 individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 42 tahun disyaki berperanan menculik dan menyembunyikan mangsa.

“Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 Sept lepas sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah,” katanya kepada pemberita pada majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Azmi berkata siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif penculikan dan tidak menolak kemungkinan mangsa merupakan ahli perniagaan.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah melibatkan kes penipuan dan empat daripadanya positif dadah jenis syabu.

Menurutnya kesemua individu yang ditahan kini direman sehingga 18 Okt dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.

Terdahulu, Azmi pada sidang media tersebut berkata dadah jenis syabu antara dadah yang merekodkan rampasan serta tangkapan tertinggi di Kuala Lumpur menerusi statistik dicatatkan dari 2005 hingga 2021 dianggarkan bernilai RM10.85 juta.

Selain itu, beliau berkata pelupusan dadah turut melibatkan antaranya dadah jenis methapatamine, kanabis, air ketum dan ketamin membabitkan 2,894 kertas siasatan.

“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dilupuskan adalah 224,638 gram dan 139,295 mililiter serta dianggarkan bernilai RM16.89 juta,” katanya. -BERNAMA