Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Bekas Exco, ADUN Behrang mahu tanding Bebas di Parlimen Tanjung Malim -

Bekas Exco, ADUN Behrang mahu tanding Bebas di Parlimen Tanjung Malim

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Datuk Jamaluddin Mohd. Radzi mengumumkan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Tanjung Malim pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnyayang pernah bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini, keputusan kembali ke dunia politik selepas kira-kira sembilan tahun bergerak tanpa menyertai parti politik, kerana ingin menyambung khidmat kepada rakyat.

Jelasnya, keputusan yang dibuat bukan secara terburu-buru atau didalangi mana-mana pihak.

Sebaliknya kata beliau, dibuat atas kehendak rakyat dan rakan seperjuangan yang masih setia bersamanya selama ini.

“Setiap kali saya bertemu orang ramai di tempat awam, kebanyakan mereka meminta saya kembali dalam politik dan bertanding pilihan raya, membuatkan saya terpanggil untuk kembali dalam dunia politik.

“Apabila rakyat sukakan kita, adalah rugi jika tidak mengambil peluang ini dalam keadaan tiada parti yang mempunyai dua pertiga untuk memerintah negara,” katanya ketika ditemui di Ipoh, malam tadi.

Jamaluddin pernah menjadi Exco Perak selepas Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas menumbangkan Barisan Nasional (BN) di Perak pada PRU-12.

Bagaimanapun, kerajaan PR Perak yang tertubuh ekoran tsunami politik itu hanya mampu bertahan selama 11 bulan apabila empat ADUN keluar daripada gabungan tersebut.

Mereka termasuk ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim yang kembali menyertai UMNO selepas keluar untuk menyertai PKR.

Tiga yang lain pula bertindak keluar parti masing-masing untuk menjadi wakil rakyat bebas tetapi menyokong BN.

Mereka ialah Jamaluddin sendiri, Mohd. Osman Mohd. Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang).

Jamaluddin berkata, berdasarkan situasi semasa, beliau melihat persefahaman parti lain yang bakal bertanding pada PRU-15 juga tidak mempunyai kekuatan.

Katanya, sekali gus membuka ruang untuk beliau kembali bertanding pada PRU.

Tambahan pula, beliau berpendapat, pada PRU-15, pengundi akan melihat kepada calon yang boleh memberi khidmat, bukan parti yang diwakili.

“Saya masih mempunyai kekuatan dan sokongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang kerana antara ketiga-tiga DUN di Parlimen itu, DUN Behrang mempunyai pengundi yang ramai,” katanya, lapor Astro Awani.

Menurutnya, sebagai persiapan awal, beliau telah membuka pusat khidmat di Taman Slim Mutiara, sejak Jun lalu.

Mengenai kemungkinan lawan akan menggunakan isu beliau melompat parti menyebabkan kerajaan PR tumbang pada 2009, Jamaluddin berkata, beliau akan mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku.