MENTERI Kanan Pendidikan Radzi Jidin menjelaskan bank soalan disediakan Kementerian Pendidikan bagi sekolah rendah termasuk sekolah jenis kebangsaan (SJK) hanya melibatkan subjek teras.
Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) yang mempersoalkan mengapa subjek bahasa Cina dan Tamil di SJK tidak terdapat di bank soalan KPM.
“Tak kira bahasa apa tetapi kalau itu subjek teras…itu kita sediakan untuk murid sekolah rendah. Subjek teras seperti bahasa Inggeris, bahasa Melayu, sejarah, sains dan matematik. Ini sahaja yang kita sediakan,” katanya di Dewan Rakyat, lapor FMT.
Beliau berkata, tidak timbul isu perkauman seperti dibangkitkan bekas timbalan menteri pendidikan itu bahawa KPM hanya menyediakan bank soalan bagi subjek tertentu.
“Tidak timbul soal perkauman, tiada mata pelajaran bahasa itu bahasa ini, tiada. Kita nak jelaskan ia berdasarkan subjek teras,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, KPM menyediakan bank soalan bagi semua subjek untuk sekolah menengah.
“Untuk sekolah menengah, kita sediakan semua subjek. Itu berbezanya kerana kita nak pastikan anak-anak di sekolah rendah apa yang penting adalah asas membaca dan mengira subjek teras dan perkara asas untuk dibawa ke sekolah menengah nanti,” katanya.
Menurut Radzi, bank soalan yang dibina KPM menyediakan soalan dari Tahun 4 hingga 6 manakala bagi sekolah menengah dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3.
“Ia disediakan oleh guru berkepakaran dalam pembinaan item dan disimpan dalam bank soalan yang dibangunkan oleh KPM, pihak sekolah akan menjana set soalan dari sistem tersebut dan ditadbir di pihak sekolah seperti mana ujian akhir tahun sebelum ini,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.