Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Setapak dikenal pasti lubuk doktor palsu - Khairy -

Setapak dikenal pasti lubuk doktor palsu – Khairy

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti Setapak menjadi lubuk bagi kegiatan doktor gigi palsu atau tidak bertauliah yang dilihat semakin meningkat dan aktif mempromosikan perkhidmatan mereka menerusi media sosial.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata KKM memandang serius perkara itu dan menerusi Akta Pergigian 2018 yang dikuatkuasakan pada 1 Jan lepas, sebanyak 10 serbuan telah dilakukan KKM ke atas premis pergigian tidak bertauliah di seluruh negara setakat ini.

“Baru-baru ini, KKM melakukan serbuan di Setapak, Kuala Lumpur dan difahamkan Setapak ini adalah lubuk bagi doktor gigi palsu.

“Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai doktor gigi tanpa tauliah ini, boleh kemukakan (maklumat) kepada KKM untuk kita lakukan serbuan. Saya beri jaminan sekiranya kita mendapat apa-apa laporan, pihak berkuasa akan terus membuat serbuan,” katanya pada sidang media selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik di sini hari ini.

Beliau berkata pengamal perubatan pergigian haram yang didapati bersalah, boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga enam tahun atau kedua-duanya di bawah Akta Pergigian 2018.

Mengulas mengenai lawatan itu, Khairy berkata Klinik Pergigian Bandar Botanik kini dalam proses pelaksanaan Proof of Concept (POC) untuk Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu (Dentur) menggunakan teknologi 3D.

Projek itu adalah yang pertama seumpamanya dijalankan KKM bagi memperkenalkan teknologi terkini pembuatan gigi palsu kepada anggota pergigian KKM serta mempercepatkan penghasilan dentur.

“Menerusi projek rintis ini juga, dijangkakan penghasilan dentur pada masa hadapan dapat ditingkatkan daripada purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini.

“Kekerapan lawatan pesakit untuk pembuatan dentur turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan sahaja berbanding lima kali lawatan yang menggunakan kaedah konvensional,” katanya.

Khairy berkata projek itu bermula pada 15 Ogos lepas dan akan dilaksanakan selama tiga bulan hingga 15 Nov di dua fasiliti kesihatan pergigian iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur.

— BERNAMA