PENGLIBATAN warga asing dalam kegiatan peniagaan kecil di ibu negara tidak membimbangkan.
Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM), Sharin Darus berkata, ini kerana penglibatan mereka terhad kepada tugas pembantu dalam menguruskan perniagaan seperti mengangkat barangan.
“Daripada muda berniaga selaku peniaga kecil, penglibatan warga asing di sekitar kawasan Chow Kit sebenarnya masih terkawal dan tidaklah seteruk seperti di suasana pasar borong yang dibanjiri mereka.
“Kebanyakan dari mereka yang kita lihat cuma bekerja sebagai pembantu bukanlah pengusaha,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.
Beliau diminta mengulas laporan media berhubung kebanijiran warga asing sehingga mereka dikatakan memonopoli perniagaan di sekitar Kuala Lumpur tidak kira samada diupah oleh warga tempatan untuk bekerja mahupun bekerja sendiri.
Sharin berkata, peniaga kecil terutamanya di sekitar Lorong Haji Taib, majoriti milik warga tempatan yang terdiri daripada peniaga Melayu dan Cina.
“Warga asing yang mereka katakan tu, adalah mereka yang bekerja untuk menolak stor peniaga tempatan yang berniaga. Mereka membantu untuk menolak ‘stall’ yang berat dengan barang jualan seperti pakaian, dan makanan jadi kita perlukan tenaga untuk tolak.
“Terdapat lebih kurang 214 gerai peniaga di Chow Kit, jadi ada orang Cina tempatan dan orang Melayu yang paling banyak” ujarnya.
Sehubungan itu beliau turut menafikan dakwaaan yang mengatakan perniagaan warga tempatan dikuasai oleh peniaga warga asing.
Katanya, sekiranya ia berlaku sudah tentu pihak berkuasa sudah mengambil tindakan.
Sharin menambah, kebanyakan anak muda kini lebih gemar untuk melakukan kerja-kerja lain seperti penghantar makanan.
“Jadi kerja – kerja seperti pembantu gerai mungkin tidak diminati mereka sebab berat,” katanya –SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.