Lelaki dipenjara lapan bulan, ugut tikam perut isteri

0
229

SEORANG lelaki dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini kerana memaksa isterinya mengadakan hubungan seks dengannya serta mengugut untuk menikam perut jika mangsa enggan.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh memutuskan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah dan mensabitkan tertuduh, Mohd Faidros Mustafa, 41, seperti pertuduhan.

Beliau turut menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan dalam menjatuhkan hukuman serta menetapkan pemenjaraan bermula daripada tarikh ditangkap pada 14 Ogos lalu.

Menurut pertuduhan dalam satu perkahwinan yang sah, tertuduh didakwa menyebabkan ketakutan kecederaan terhadap isterinya, Rohani Mohamed Kassim, 32, untuk mengadakan persetubuhan dengannya.

Kesalahan itu dilakukan pada 9 Mei 2022, kira-kira jam 9 malam di sebuah rumah di Balai Panjang dan dituduh mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai lima tahun jika disabitkan.

Memetik laporan Harian Metro, tertuduh memaksa pengadu mengadakan hubungan seks dan mengugut untuk menikam perut jika isterinya ingkar menuruti kemahuannya kira-kira jam 9 malam pada hari kejadian.

Pada masa sama, tertuduh juga memaksa pengadu untuk mengambil dadah.

Tertuduh yang bekerja sendiri dan tidak diwakili peguam mengaku semua fakta berkenaan serta merayu hukuman penjara ringan kerana menanggung dua anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang berusia.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri dalam hujahnya bagaimanapun memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepadanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here