PRU-15: PN dalam proses lengkapkan pembahagian kerusi

PERIKATAN Nasional (PN) kini dalam proses melengkapkan rundingan pembahagian kerusi antara komponen parti itu untuk persediaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau sudah menyemak perkara itu menerusi mesyuarat dipengerusikannya yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Pengarah Pilihan Raya PAS; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan wakil daripada GERAKAN, dua minggu lalu.

“Perbincangan berjalan lancar atas nama PN dan beberapa kawasan masih dalam perbincangan. Kita ada kaedah bagi melengkapkan proses rundingan.

“Berapa peratus ‘settle’ (selesai), saya tidak pasti tapi kalau pilihan raya esok kita sudah ‘ready’ (sedia),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Bahagian BERSATU dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BERSATU Selangor hari ini.

Mengulas mengenai sama ada beliau bersedia jika ‘bekas majikan’ ingin bertanding di Gombak, Mohamed Azmin berkata, sesiapa saja boleh bertanding di Parlimen itu.

Katanya, sama ada beliau bertanding di Gombak atau tidak pada PRU-15, keputusan itu tertakluk kepada keputusan parti.

“Saya sudah berkhidmat untuk rakyat Gombak selama tiga penggal termasuk membantu pembangunan kawasan itu dan ia terpulang kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan hasratnya untuk bertanding dan merampas kerusi Parlimen yang disandang oleh ‘pengkhianat’ PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, mengulas pengumuman keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk mengadakan PRU-15 pada tahun ini, Mohamed Azmin berkata, beliau tidak berasa terkejut, malah perkara itu sudah dijangka.

“Tetapi (menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dan PRU), ia perlu dibincang dalam Jemaah Menteri kerana perlembagaan jelas menyatakan bahawa Jemaah Menteri akan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri pula akan bawa mandat Jemaah Menteri.

“Jadi dalam perbincangan awal kita menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya tumpuan diberikan kepada persiapan kemungkinan berlaku banjir kerana kebajikan dan keselamatan rakyat perlu diberi keutamaan,” katanya.