MINI Karnival Usahawan Desa (KUD) 2022 yang melabuhkan tirai penutupnya di Limbang, Sarawak hari ini telah berjaya mencapai kutipan jualan tunai lebih RM400,000.
Ini melepasi sasaran awal Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebanyak RM200,000 bagi karnival yang bermula Jumaat lepas.
“Jika kita mengambil kira tempahan dan pemadanan perniagaan sepanjang dua hari setengah karnival ini berlangsung nilai keseluruhan yang telah berjaya dicatatkan mencecah hampir RM1.1 juta,” kata menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa merasmikan majlis penutup karnival itu di Kompleks Sukan Limbang di sini hari ini.
Katanya, berdasarkan rekod sehingga tengah hari hari tadi, lebih 30,000 orang telah berkunjung ke karnival itu.
Mini KUD di Limbang adalah antara inisiatif di bawah KPLB untuk memperkasakan sistem pembiayaan kewangan, kemudahan fizikal dan sistem sokongan luar bandar kepada usahawan.
Menurut beliau program berkenaan menyediakan platform kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalinkan kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.
Objektif utama KUD adalah menyediakan platform bagi mempromosi kemudahan serta insentif yang disediakan oleh sektor awam dan swasta dalam membantu perkembangan perniagaan usahawan luar bandar.
“Melalui program ini juga kementerian dapat mengumpul maklumat dan mendapatkan maklum balas terkini daripada usahawan luar bandar khasnya di bawah bimbingan KPLB, mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang telah dilaksanakan oleh kementerian dan agensi bagi tujuan penambahbaikan berterusan,” kata beliau.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan merangkumi sesi pameran dan khidmat nasihat berkaitan keusahawanan dan pendidikan daripada KPLB dan agensi di bawahnya serta aktiviti jualan produk oleh lebih 100 usahawan bimbingan di bawah KPLB dan di bawah kelolaan Majlis Daerah Limbang.
Kelainan yang dibawa pada karnival itu adalah hab sukan di mana pengunjung berpeluang melihat dan menyertai pertandingan dart, aerobaton dan e-sukan seperti PUBG dan Mobile Legend.
— BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.