UMNO degil, serlah sikap sanggup gadai nyawa rakyat – PKR

0
102

PKR mendakwa keputusan UMNO mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini walaupun negara berdepan ancaman banjir menyerlahkan sikap politikus parti itu yang sanggup menggadaikan nyawa rakyat. 

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata kos mengadakan pilihan raya juga dijangka meningkat sehingga RM100 juta jika ia diadakan pada musim banjir. 

Katanya, jangkaan peningkatan kos terbabit bersamaan dengan peruntukan tambahan yang boleh digunakan bagi menyelesaikan isu 3,000 doktor perubatan berstatus kontrak.

“Saya terkilan dengan keputusan UMNO semalam yang degil mahu mengadakan PRU15 walaupun banjir berlaku. 

“Jabatan Meteorologi sudah memberi amaran bahawa banjir akan melanda seawal bulan November dan jutaan keluarga akan terjejas dengan kerugian mencecah berbilion ringgit, puluhan ribu rakyat terpaksa berpindah, malah lebih 50 nyawa diragut tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi, membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini. 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata susulan keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan. 

Mengulas lanjut, Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, sikap UMNO memadai untuk disedari sejauh manakah nilai nyawa dan harta rakyat di mata mereka. 

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cuba mempolitikkan isu ini dengan mengatakan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) takut berhadapan dengan pilihan raya. 

“Saya ingin menegaskan bahawa PKR sudah bersiap siaga. 80 peratus struktur jentera parti sudah dilengkapkan dan jumlah sukarelawan berdaftar sudah mencecah 14,000 orang,” katanya. 

Tegasnya, PKR pernah memenangi lebih 50 kerusi dalam pilihan raya umum, namun pernah mengekalkan satu kerusi sahaja. 

Rekod itu katanya, menunjukkan PKR tidak pernah berganjak untuk berlawan demi kepentingan rakyat. 

“Yang harus takut adalah mereka yang membankrupkan konsep Keluarga Malaysia, merisikokan negara dan menggadai nyawa rakyat demi kelangsungan politik mereka. 

“Ini bukan Keluarga Malaysia, tetapi komplot politikus namanya,” katanya memetik laporan aBh Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here