Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Guru cemerlang sekolah rendah bakal dinaikkan gred lebih tinggi - Radzi -

Guru cemerlang sekolah rendah bakal dinaikkan gred lebih tinggi – Radzi

MENTERI Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin memaklumkan, guru cemerlang sekolah rendah kini berpeluang dinaikkan gred lebih tinggi sehingga DG52 atau DG54.

“Kriteria dan perincian akan diumumkan kementerian dalam masa terdekat. Kita sedar sudah ramai guru siswazah ditempatkan sekolah rendah iaitu sekitar 90 peratus dan mereka akan diberi ruang sama seperti guru di sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai rungutan guru cemerlang sekolah rendah apabila kuota gred dikatakan setakat GD48 sahaja.

Terdahulu beliau melawat tapak projek Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di Sepang, hari ini.

Guru cemerlang disandarkan sebagai pakar rujuk dalam bidang atau mata pelajaran diajar.

Penyebaran ilmu dan pengetahuan guru cemerlang dilihat mampu untuk dimanfaatkan kepada bidang lain seperti penggubal soalan peperiksaan, penulis buku teks dan bahan ilmiah.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Radzi berkata, gred guru penolong kanan akan turut dinaikkan pangkat sekiranya memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Sekarang ini sudah sampai masanya untuk gred guru-guru siswazah ditingkatkan yang membolehkan mereka tidak boleh duduk di jawatan pentadbiran sekiranya kementerian tidak naikkan gred tersebut,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) telah bersetuju untuk meningkatkan gred tersebut.

“Guru penolong kanan tak perlu risau kerana kementerian telah membuat penyusunan semula dalam model baharu struktur dalam organisasi di sekolah.

“Perincian akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Semalam, KPM memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.