[VIDEO] Pekerja asing: Adakah terdapat perkara yang disembunyikan, soal Dr. Marzuki

0
624

KENYATAAN Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri M Saravanan yang mengatakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat laporan terkini berhubung pengambilan pekerja asing, dipertikaikan.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia Kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, beliau hairan dengan kenyataan itu apabila individu yang hadir memberi taklimat setiap kali mesyuarat MPN merupakan pegawai kanan KSM.

“Saya hairan juga. Setiap kali mesyuarat MPN, yang datang beri taklimat ialah pegawai kanan KSM. Adakah pegawai tak melaporkan perkembangan terkini kepada MPN? Tak mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Malah menurut beliau, Timbalan Ketua Setiausaha KSM hadir ke bangunan Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya untuk memberikan taklimat kepada MPN pada mesyuarat terbaharu, 27 September lalu.

Pada mesyuarat itu dilaporkan hanya 76,000 pekerja asing berjaya dibawa masuk daripada lebih 400,000 permohonan yang telah diluluskan dan telah dibayar levi.

“Dilaporkan juga, 10,000 pekerja asing dari Bangladesh akan dibawa masuk menerusi ‘projek khas’ yang tidak melalui Sistem Pegurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

“MPN (seterusnya) membangkitkan persoalan mengapa tidak boleh lebih ramai pekerja asing dibawa masuk tanpa sistem FWCMS sekiranya 10,000 pekerja asing boleh dibawa masuk tanpa sistem berkenaan untuk menampung kekurangan pekerja yang meruncing pada masa ini.

“Bagaimanapun, tiada jawapan diberikan,” katanya.

Dr. Marzuki seterusnya berkata, baru-baru ini, pergawai dari syarikat mengendalikan FWCMS disoal siasat oleh SPRM.

“Adakah terdapat perkara yang disembunyikan daripada pengetahuan MPN?

“Saya tanya saja, saya bukan tuduh,” ujarnya lagi.

Pada Rabu, M Saravanan memberitahu pemberita bahawa telah banyak perkara dilaksanakan oleh KSM dan beliau yakin Muhyiddin tidak dimaklumkan mengenai perkembangan isu berkenaan serta akan menghantar laporan terkini berhubung masalah kemasukan pekerja asing.

Terdahulu pada Selasa Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kecewa apabila hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu utama yang diusulkan MPN, dilaksanakan kerajaan.—SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here