Kes terowong: Saksi diarah serah salinan perbualan dua peniaga

0
218

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengarahkan saksi kelapan bagi kes projek terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng menyerahkan laporan forensik perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan dan maklumat pembuat laporan itu kepada pasukan pembelaan.

Perkara itu diputuskan Hakim Azura Alwi selepas peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memohon agar laporan yang disediakan oleh seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes jenayah membabitkan G. Gnanaraja di Mahkamah Sesyen, Shah Alam diserahkan kepada mereka.

Untuk rekod, Gnanaraja merupakan salah seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan Guan Eng.

Gnanaraja telah membuat tuntutan di mahkamah itu pada 3 April 2019 atas tiga pertuduhan menipu Zarul Ahmad sebanyak RM19 juta.

Dia didakwa memperdaya Zarul Ahmad untuk mempercayai dia boleh membantunya menutup siasatan SPRM terhadapnya, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, status bagi kes berkenaan tidak diketahui.

Ketika pemeriksaan balas terhadap saksi kelapan pendakwaan, Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wan Mohd. Firdaus Wan Yusof, 34, Gobind berkata, laporan yang disediakan pegawai itu terhad kepada suatu jangka masa sahaja.

Sebaliknya peguam itu berkata, perbualan Gnanaraja dengan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli bagi kes di Shah Alam lebih lengkap.

Bukan itu sahaja, Wan Mohd. Firdaus turut menyatakan bahawa laporan forensik bagi telefon bimbit milik Zarul Ahmad pada 17 Ogos 2020 menggunakan perisian dikenali XRY gagal mengekstrak kandungan WhatsApp.

Gobind: Tapi perkara itu tidak dinyatakan dalam laporan tuan, ini kali pertama saya dengar bahawa tuan tak boleh ekstrak maklumat itu.

Wan Mohd. Firdaus: Ada dinyatakan dalam laporan di ruangan peralatan perisian yang kami gunakan.

Gobind: Sila rujuk laporan tuan, dalam kes ini apabila tuan buka telefon untuk pemeriksaan, bukankah telefon ini telah diekstrak lebih awal, bagi kes perbicaraan lain?

Wan Mohd. Firdaus: Ya bagi kes lain.

Gobind: Itulah masalahnya, siapa pemeriksa bagi laporan tersebut?

Wan Mohd. Firdaus: Pemeriksa lain, saya tak ada maklumat.

Gobind: Tuan boleh carikan, mesti tuan boleh dapatkan maklumat itu, sebab tuan satu pejabat dengan pegawai berkenaan.

Wan Mohd. Firdaus: Boleh, jika ada kebenaran ketua jabatan saya.

Sebelum ini saksi berkenaan menyatakan bahawa beliau telah mengekstrak telefon Zarul Ahmad menggunakan aplikasi XRY.

Bagaimanapun beliau berkata, aplikasi itu hanya berjaya diekstrak maklumat khidmat pesanan ringkas (SMS) dan khidmat pesanan multimedia (MMS).

Dalam kes ini, Guan Eng berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima suapan serta dua lagi pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Negeri Pulau Pinang, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Perbicaraan bersambung 19 Oktober depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here