Terkesan kenaikan kos hidup, ada mahasiswa terpaksa tangguh pengajian – Tinjauan

0
361

KOS sara hidup tinggi bukan sahaja menambahkan beban terhadap golongan yang sudah berkerja, tetapi turut meletakkan tekanan tambahan yang tinggi kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Menerusi tinjauan SatuBerita di Kuala Lumpur baru-baru ini beberapa mahasiswa mengakui menghadapi masalah kewangan biarpun telah cuba sedaya upaya untuk berjimat cermat.

Pelajar jurusan Sains Fizikal, Aqmal Iman, 18, menceritakan bahawa salah seorang kenalannya terpaksa menangguhkan pengajian ekoran sudah tidak mampu menampung perbelanjaan biarpun mempunyai potensi cemerlang dalam pelajaran.

“Ramai kawan saya juga tidak mendapat sebarang tajaan biarpun memperoleh keputusan yang baik. Saya berpandangan, kerajaan perlu lebih utamakan usaha membantu pelajar yang mempunyai potensi untuk cemerlang,” katanya.

Ahmad Syakir Asyraaf

BACA BERITA BERKAITAN: [VIDEO] Mahasiswa ‘ikat perut’ imbangi segala kenaikan kos sara hidup

Bagi pelajar jurusan Sains Hayat, Nisa Ezzatie, 20 berkata duit belanja yang diperoleh daripada ibu bapanya hanya ‘cukup-cukup makan’ biarpun sudah berjimat.

Nisa Ezzate

“Kekangan dari sudut kewangan memang masalah utama kepada pelajar sebab banyak keperluan seperti buku yang perlu dibeli. Duit yang tinggal pun cukup – cukup sahaja itu pun dah berjimat, jadi memang kena uruskan dengan betul.

“Tambah pula duduk dekat ibu kota. Ramai juga kawan – kawan saya yang agak susah dan datang dari keluarga B40. Memang ada tajaan yang pihak universiti sediakan tapi tak semua pelajar boleh ‘score’ untuk manfaatkan peluang itu,” katanya.

Bagi pelajar jurusan Sains Fizikal, Aliff Ammar, 18, tekanan yang dirasakan akibat peningkatan kos sara hidup itu lebih terasa apabila terpaksa menyewa di luar.

Aliff Ammar

“Kalau berada dalam kampus sekurang – kurangnya RM15 hingga RM20 untuk makan sehari. pelajar akan alami sedikit masalah sekiranya tidak dapat menginap di kolej kediaman sebab ada sesetengah universiti yang menetapkan syarat purata nilai gred kumulatif (CGPA) tertentu.

“Andai kata pelajar itu tak bernasib baik dan terpaksa duduk di luar,ini akan menambahkan lagi kos kerana mereka perlukan duit untuk tempat tinggal termasuk kenderaan untuk bergerak dari rumah sewa ke kampus,” ujarnya.

Aliff menambah, biarpun dirinya boleh mengharapkan wang saku daripada ibu bapanya, dia mengakui bahawa wang itu tidak mencukupi sehingga memaksa dirinya melakukan kerja sambilan setiap kali cuti semester.

Perkara yang sama diutarakan oleh pelajar tahun dua jurusan Pengurusan Sukan, Tan Siew Eng 22, berkata sekiranya pelajar-pelajar terpaksa menyewa rumah di luar kolej, mereka memerlukan duit dalam kuantiti yang banyak untuk membayar deposit sewa berkenaan.

“Ada pelajar yang datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, jadi apabila tidak mampu untuk tanggung perbelanjaan, mereka rancang untuk berhenti belajar,” tambahnya.

Bagi pelajar tahun dua Jurusan Bahasa dan Linguistik, Allysha Shahira, 21, mengakui dirinya terpaksa mengharapkan elaun makanan di kafe tempat dirinya bekerja secara sambilan untuk mengisi perut.

Tan Siew Eng dan Nor Allysha Shahira

“Kalau nak dikira, yuran pengajian sahaja dah nak dekat RM1,000, tambah lagi dengan kolej penginapan lebih RM2,000. Sekarang saya buat kerja sambilan di kafe dapatlah RM6 sejam, kalau kerja di kafe, saya dapat elaun makan. Bolehlah tumpang makan sekali,” luahnya.

Sementara itu,

Terdahulu pada Sabtu, media melaporkan bahawa lebih ramai pelajar pengajian tinggi dikhuatiri meninggalkan universiti akibat kekangan kewangan yang dihadapi mereka.

Menurut laporan itu, sebilangan pelajar sudah dikesan meninggalkan pengajian ekoran tidak mampu menyara diri terutamanya bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Selangor. –SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here