POLIS Negeri Sembilan melupuskan barang kes terdiri daripada pelbagai jenis dadah berjumlah RM720,680 membabitkan 2,531 kertas siasatan yang diselesaikan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata pelupusan itu melibatkan dadah jenis heroin sebanyak 11 kilogram (kg), ganja (9 kg), syabu (8 kg), ketamin (158 gram), erimin 5 (2.5kg), pil ekstasi (135 gram), daun ketum (1,600 kg), air ketum (2,753 liter) dan kodiena (13 liter).
“Bagi tempoh sama juga Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan telah melaksanakan sebanyak 4,336 tangkapan melibatkan pengedaran dadah 549 individu, pemilikan dadah (1,350) dan pengguna dadah (2,437), manakala jumlah sitaan yang dilakukan dianggarkan bernilai RM3.8 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, JSJN Negeri Sembilan amat memandang serius misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar dadah yang bergiat aktif di negeri ini.
“Polis, khasnya JSJN negeri, memohon kerjasama masyarakat untuk membantu menyalurkan maklumat dalam usaha menghapuskan dadah di negeri ini, selain menasihatkan masyarakat supaya lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dalam mencegah sebarang kesalahan kegiatan dadah berbahaya,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.