Muhyiddin: Pemergian Yusuf al-Qaradawi kehilangan besar kepada dunia Islam

0
319

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pemergian ulama terkemuka dunia kelahiran Mesir, Prof Dr Yusuf al-Qaradawi semalam sebagai satu kehilangan besar kepada dunia Islam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Allahyarham merupakan seorang ulama yang paling disegani atas sumbangan besarnya kepada umat sejagat.

“Saya merasa sungguh dukacita apabila mendapat perkhabaran ulama muktabar dunia, Prof Dr. Yusuf al-Qaradawi telah kembali ke rahmatullah.

“Pemergian Dr. Yusuf al-Qaradawi merupakan satu kehilangan besar kepada dunia Islam kerana Almarhum merupakan seorang ulama yang paling disegani,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata,
semasa hayatnya, Almarhum memberi sumbangan besar menerusi penghasilan lebih 120 naskhah buku termasuk naskhah perundangan Islam yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

“Sungguh besar jasa bakti dan sumbangan Almarhum kepada umat sejagat sehingga dianggap sebagai seorang mujtahid pada era moden ini.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan Allah mengampunkan segala dosanya serta menggandakan pahala atas segala kebaikan dan sumbang bakti yang tidak terhingga kepada umat manusia. Al- Fatihah,” katanya.

Allahyarham Yusuf meninggal dunia pada usia 96 tahun di Qatar, tempat beliau tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.

Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.

Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.

Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here