Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SERAMAI lima individu termasuk pasangan suami isteri ditahan kerana terlibat aktiviti pembekalan dadah selepas polis melalukan empat serbuan berasingan sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dan JSJN Bukit Aman, mereka yang ditahan itu berusia 22 hingga 32 tahun.
“Pada 23 September lalu, sekumpulan pegawai dan anggota polis menjalankan empat serbuan berasingan bermula pukul 9 malam dan menahan lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita.
“Ini termasuk pasangan suami isteri itu yanh berusia 23 dan 22 tahun dan mempunyai seorang anak berusia lapan bulan.
“Menerusi serbuan berkenaan, polis turut merampas 21.16 kilogram (kg) ganja dan 784 gram syabu dengan nilai RM67,027. Jumlah dadah berkenaan dianggarkan mencukupi untuk kegunaan seramai lebih 21,000 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di Johor Bahru, hari ini.
Katanya, modus operandi yang digunakan kumpulan itu adalah menjadikan premis perumahan di kawasan ‘gated and guarded’ sebagai lokasi simpanan dan pembekal dadah yang diperoleh dari negara jiran.
“Kumpulan ini dipercayai bertindak selaku pembekal, di mana mereka menyimpan dadah berkenaan sebelum menjual dengan mengagihkannya kepada kumpulan pengedar kecil-kecilan di pasaran tempatan,” ujar beliau.
Dalam serbuan berkenaan katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,650, pelbagai barangan kemas bernilai RM44,413, tiga buah motosikal dan dua buah kereta bernilai RM113,000, rampasan keseluruhan bernilai RM188,063.
Tambahnya, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak bulan Mac lalu, semua suspek kini direman selama enam hari bermula Sabtu 24 untuk siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.