Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Minuman keras RM2.1 juta tanpa cukai dirampas, 12 ditahan -

Minuman keras RM2.1 juta tanpa cukai dirampas, 12 ditahan

SERBUAN polis terhadap sebuah gudang di Klang membawa kepada rampasan minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai kira-kira RM2.1 juta, Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan, pihaknya telah berjaya merampas sebanyak 48,900 botol dan 480 tin pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai dalam serbuan tersebut.

Menurut beliau, rampasan tersebut dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dibantu anggota Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Arjunaidi memaklumkan, serbuan pada pukul 5 petang itu susulan risikan yang dilakukan pihak polis.

Katanya, polis turut berjaya menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 58 tahun dan sembilan pekerja warga asing dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun dalam serbuan pertama itu.

“Serbuan pertama pada 21 September lalu, Bahagian Risik Batalion 4, PGA Semenyih telah menjalankan operasi melibatkan minuman keras tidak bercukai di sebuah premis di Jalan Hulubalang 27, Taman Sentosa, Klang.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM2.1 juta yang dirampas selepas menyerbu sebuah premis di kawasan Klang ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Siasatan awal mendapati minuman keras itu telah disimpan di kawasan gudang berpagar dengan warga asing tersebut diupah untuk menguruskan penyusunan minuman keras berkenaan,” katanya dalam sidang media hari ini, lapor Utusan TV.

Susulan serbuan pertama, Arjunaidi memaklumkan, pihak CPSK JKDNKA dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kemudiannya menjalankan serbuan kedua di premis berdekatan.

Hasilnya, beliau berkata, dua suspek wanita warga asing telah ditahan manakala sejumlah minuman keras tidak bercukai serta 270 kotak mengandungi mercun telah dirampas.

Jelas beliau, dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed GAMBAR: Warta Rakyat

“Polis masih mengesan pemilik dan pengurus yang dipercayai seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan.

“Kesemua suspek telah pun direman selama 14 hari sehingga 5 Oktober dengan kita akan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat,” jelas beliau.