Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Pengarah Operasi PDRM untuk PRU15

0
150

PENGARAH Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik Pengarah Operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Sehubungan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berharap semua Jabatan termasuk KDNKA menjalankan tugas menjaga keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam khususnya ketika PRU15 kelak.

“Saya amat percaya, di bawah Hazani, semua jabatan akan digerakkan secara strategik untuk memelihara keselamatan dan ketenteraman awam bagi menghadapi pilihan raya,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Polis Negara sempena Perhimpunan Bulanan PDRM, anjuran Jabatan KDNKA.

“Seperti mana kita semua sedia maklum, perkhabaran mengenai PRU15 bakal diadakan pada tarikh yang dikatakan semakin hampir, maka saya menyandarkan harapan yang tinggi kepada semua pegawai pemerintah dan kesemua petugas PRU15.

“Ini agar supaya mereka sentiasa mengambil cakna dan memahami akan tanggungjawab masing-masing serta melengkap diri dengan pengetahuan yang menyeluruh mengenai bidang kuasa yang diperuntukkan dalam kesalahan Pilihan Raya 1954 dan lain-lain akta yang berkaitan, dalam kita melaksanakan tugas-tugas sebagai PDRM semasa PRU kelak.

“PDRM juga akan gunakan secara optimum jentera pasukan dengan perancangan yang sistematik bagi memastikan situasi PRU15 aman dan dalam masa yang sama tugas hakiki kita mengekalkan keselamatan dan keamanan negara berjalan dengan baik,” tambahnya lapor Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, para petugas PDRM perlu menjalankan tugas dengan profesional demi mengelakkan sebarang implikasi yang mampu mencalar kredibiliti pasukan dan kewibawaan kerajaan.

“Dalam perkara ini saya telah mengeluarkan arahan bertarikh 14 Sept 2022 mengenai usaha-usaha memantapkan amalan kesantunan berbahasa dalam menyampaikan perkhidmatan PDRM yang perlu diberi perhatian.

“Sebagai pegawai polis, kita perlu bijak mengawal emosi, menjaga tutur kata dan mengekalkan tahap profesionalisme yang tinggi sepanjang menjalankan tugas terutama ketika berhadapan situasi bersifat provokasi.

“Kita juga perlu telus dalam menangani isu-isu yang melibatkan mana-mana parti politik agar pasukan ini dilihat sebuah institusi kepolisan yang profesional,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here