Tidak rela berpisah, lelaki ugut culik dan pukul bekas kekasih

0
194

TIDAK rela hubungan dengan teman wanita putus dan dihalang oleh bapa saudara, seorang lelaki bertindak mengugut mahu menculik dan memukul bekas kekasihnya.

Ugutan didakwa dibuat oleh suspek berusia 22 tahun yang menghubungi bapa saudara bekas teman wanitanya berusia 35 tahun yang menetap di sebuah pangsapuri di Lembah Jaya Selatan, Ampang Jaya pada 15 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas laporan polis itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan suspek di sebuah restoran di Taman Larkin Perdana, Johor Bahru kelmarin.

“Mereka berpisah sejak Disember 2020, namun suspek sering mengganggu dan mengugut bekas teman wanitanya yang berusia 20 tahun serta bapa saudara mangsa.

“Bapa saudara wanita terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah kerana bimbang dengan keselamatan dirinya serta anak saudaranya,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!

Hasil siasatan mendapati, punca kejadian adalah perselisihan faham antara suspek dengan bekas teman wanitanya.

“Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah yang dikehendaki.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here