‘Pengkhianat’ dijangka bersara selepas PRU-15 – Anwar

0
214

NASIB pemimpin yang dianggap sebagai ‘pengkhianat’ kepada Pakatan Harapan (PH) dijangka berakhir dengan persaraan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu ditegaskan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dipetik BH Online.

Menurut Anwar, belum ada dalam sejarah pemimpin-pemimpin yang khianat masih tetap bertahan dalam arena politik.

“Dia bersaralah, mana ada dalam sejarah orang khianat boleh bertahan, jangan kita remehkan atau pandang enteng sikap kesedaran orang biasa, ia mungkin tiada sepetah itu mengulas dan melakar beberapa kenyataan.

“Namun, dia ada dalam sanubarinya dan hati nuraninya, dia tahu apa yang hak dan batil, apa benar dan palsu, ini harus diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Perjumpaan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad di Taman Sena Indah, Kangar semalam.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan, parti itu masih belum menetapkan calon untuk mengisi beberapa kerusi ‘pengkhianat’ seperti kerusi Parlimen Gombak dan Ampang.

Namun begitu, Anwar berkata, parti mestilah meletakkan calon yang kuat untuk menumbangkan ‘pengkhianat’ tersebut.

“Kita belum tetapkan siapa calon tetapi saya beri mesej yang jelas terhadap penyandang ‘kerusi khianat’ ini bahawa apa pun alasan dia bagi sama ada salah Anwar, salah siapa pun, dia khianat.

“Orang yang khianat ini harus ditolak dan kita sudah arahkan pimpinan (PKR) umpamanya menentukan calon mestilah kuat untuk menumbangkan mereka namun buat masa ini kita sedang meneliti calonnya kerana ‘kerusi khianat’ ini ramai juga,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here