PBT cari penyelesaian terbaik atasi banjir:MB

0
140

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

KERAJAAN Johor mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari penyelesaian terbaik bagi mengelak kejadian banjir berulang.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha tersebut perlu dilakukan di semua kawasan sering dilanda banjir sebagai langkah persediaan menghadapi bencana alam berkenaan.

Beliau yang melawat beberapa kawasan banjir kilat di Johor Bahru dan Iskandar Puteri pada Ahad memberitahu, terdapat beberapa usaha yang sedang dan akan dilaksana Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

“Di Johor Bahru MBJB antaranya akan menaik taraf pam air dari empat unit kepada enam unit di Rumah Pam Sungai Chat. Tiga lagi lokasi juga akan ditambah dengan dua unit pam berkapasiti 25kwh setiap satu.

“Kawasan itu adalah di kawasan Surau Tambatan, Restoran Malay Village dan Jalan Kampung Mohd Amin selain kerja-kerja pembersihan sampah sarap di ‘trash screen’ dan mendapan di dasar Sungai Chat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ini termasuk kerja-kerja menambah pembinaan ‘wier’ di kawasan hulu iaitu di lokasi Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggung Ibrahim dan kawasan pembangunan Pemaju Tanjung Nahkoda.

Sementara di Iskandar Puteri pula katanya, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan melebarkan dan mendalamkan Sungai Gelang Patah oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

Jelasnya, ini termasuk kerja-kerja melebarkan Sungai Senapang oleh JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selain membina tembok penahan banjir di Kampung Muafakat, Gelang Patah. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here