Pas terus komited erat hubungan dengan UMNO, Bersatu – Idris

0
157

PAS masih lagi komited untuk mengeratkan hubungan dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga kini.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, setakat ini pihaknya masih kekal menjalinkan hubungan politik dengan UMNO dan Bersatu.

“Hubungan Pas bersama kedua-dua parti Melayu Bumiputera itu masih baik dan kerjasama dalam mentadbir kerajaan juga berjalan lancar.

“Naratif kita konsisten dalam soal ‘perpaduan ummah’ dan Pas komited mahu menyatukan majoriti dalam kalangan orang-orang Islam di negara ini.

“Justeru, kerjasama Pas, UMNO dan Bersatu perlu diteruskan dan dikekalkan bagi menguatkan lagi hubungan dalam kalangan umat Islam,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam majlis penyerahan bot dan enjin kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di Tawau hari ini.

Menurutnya lagi, kira-kira 65 peratus umat Islam di seluruh negara perlu bersatu membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

“Kalau semua Bumiputera Islam bersatu, sudah pasti kaum dan agama lain akan dapat menumpang teduh bersama dengan kita.

“Sebab itu, prinsip Pas kekal mahu memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak menguasai politik di negara kita pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya.

Ditanya mengenai calon Pas di Sabah, katanya, setakat ini semua negeri sudah menghantar nama termasuk Sabah untuk bertanding pada PRU-15.

“Bagaimanapun, perbincangan lebih lanjut perlu dibuat untuk calon di Sabah dan kita akan lihat maklumat yang diberikan oleh pimpinan di negeri ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here