KASA serah kepada Kedah selesaikan isu kolam Gunung Inas

0
66

Oleh BADLISHAH MAT

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) menyerahkan kepada kerajaan Kedah untuk membuat keputusan terhadap tiga kolam takungan ladang durian Musang King di Gunung Inas, Baling di Kedah yang didakwa sebagai punca kepala air pada Julai lalu.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementerian yakin kerajaan Kedah berupaya dan boleh memberi perhatian terhadap projek pembangunan yang diluluskannya di negeri ini.

“Kita serahkan kepada kerajaan negeri, projek itu dilaksanakan oleh syarikat anak kerajaan negeri dan wajarlah kerajaan negeri yang membuat tindakan susulan.

“Pasti kerajaan negeri ada solusi untuk menghadapi situasi ini tambahan lagi mereka telah melihat bahaya kolam itu kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda di Sungai Petani, Kedah.

Tuan Ibrahim sebelum ini memaklumkan JPS diminta mengeringkan tiga kolam takungan air yang ada di gunung itu secepat mungkin kerana bimbang kejadian banjir puing akan berulang.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan langkah mengeringkan kolam terbabit dianggap tidak akan memberi apa-apa kesan kepada persekitaran kawasan terbabit.

Katanya, dakwaan bahawa tiga kolam sebesar gelanggang futsal di puncak Gunung Inas menyebabkan perasaan tidak selamat dalam kalangan penduduk sekitar adalah hanya spekulasi semata-mata.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, dua empangan sabo yang akan dibina di kaki Gunung Inas sedang dalam proses pemilihan dan lantikan kontraktor.

“Kita yakin selepas urusan dokumentasi selesai, empangan sabo ini akan berjaya disiapkan kontraktor sepenuhnya tahun ini juga.

“Di Kedah, sebanyak tujuh empangan sabo akan dibina iaitu masing-masing dua di Yan dan Baling serta tiga lagi di kawasan baharu dan sehingga kini satu telah siap di Yan,” katanya.

Kata beliau, apabila empangan itu siap kelak, ia dapat mengurangkan impak dengan memperlahankan aliran air sungai dan menyekat aliran puing sekiranya berlaku banjir akibat hujan lebat walaupun dalam tempoh sama. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here