‘Kalau UMNO lawan kita, kita lawan dia’ – Tuan Ibrahim

0
235

Oleh BADLISHAH MAT

TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan mereka sedia menjadi lawan UMNO jika perbincangan membentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu gagal mencapai kata sepakat.

Namun beliau berkata, Pas ketika ini yakin masih ada ‘cahaya di hujung terowong’ dalam soal kerjasama kedua-dua parti itu kelak bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kita akan teruskan perbincangan mencari jalan terbaik dan kalau dia (UMNO) lawan kita, kita lawan dengan dia. (Tetapi) kita lebih suka untuk mencari jalan ke arah kebaikan bagi kesatuan ummah.

“Tapi UMNO duk isytihar hendak lawan solo, kita tengoklah macam mana. Saya tengok dalam ‘mangkuk air’ ini belum nampak lagi, tapi mungkin InsyaAllah ada cahaya di hujung terowong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda di Sungai Petani, Kedah.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut menegaskan bahawa Pas juga tidak pernah membelakangkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam apa jua tindakan termasuk perbincangan yang dilakukan bersama UMNO.

Jelasnya, semua perkara yang dibincangkan akan dilapor terus kepada Majlis Pimpinan PN agar tidak wujud sebarang isu kelak.

Pada Sabtu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa semua parti komponen PN perlu sepakat bahawa musuh utama gabungan itu pada PRU-15 adalah Barisan Nasional (BN).

Malah, ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa BN adalah musuh utama PN yang perlu dilawan pada PRU-15, Tuan Ibrahim menegaskan parti Melayu harus mengelak pertembungan pelbagai penjuru.

“Ini kerana kita mahu mengelak menang jadi arang, kalah jadi abu kerana politik bukan sekadar bertanding dalam pilihan raya semata-mata tetapi yang lebih penting adalah strategi untuk menang.

“Buktinya kerjasama baik dalam politik adalah contoh dalam kerajaan Pusat dan negeri Kedah yang membabitkan Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dapat bekerjasama dan bekerja dengan baik,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here