Banjir, ribut di Johor:33 mangsa dipindahkan ke tiga PPS

0
193

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SERAMAI 29 mangsa melibatkan 11 keluarga dari Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu hari ini.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, semua mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Agama Seri Bengkal yang dibuka pada pukul 8 pagi dan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peserai yang dibuka pukul 12 tengah hari.

“Mereka dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air. Banjir berlaku akibat hujan lebat beberapa jam bermula pukul 6.30 pagi tadi serta pertembungan air pasang,” menurut APM Johor dalam satu kenyataan, hari ini.

APM Johor memaklumkan, selain Batu Pahat, beberapa kawasan di daerah ini turut dilanda banjir antaranya di Batu 10, Skudai; Kampung Dato Sulaiman Menteri dan Tabika Kemas di Skudai Kiri.

Anggota APM membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Bengkal dan Kampung Bintang Peserai, Batu Pahat, hari ini

Jelasnya, banjir turut melanda Kampung Mohd Amin; Kampung Ubi; Kapung Tiram Duku; Kampung Peladang, Kampung Baru Muafakat; Kampung Pekajang dan Kampung Paya Mengkuang.

“Tiada mangsa banjir dari Johor Bahru yang dipindahkan kerana kawasan yang dinaiki air telah surut. Namun pemantauan ke tempat kejadian dari masa ke semasa akan dilakukan,” jelas APM Johor.

Dalam pada itu, APM Johor berkata, ribut berlaku di dua daerah melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong (Pontian) dan Kampung Parit Jamil, Sabah Awor (Muar).

Ribut berlaku di melibatkan Kampung Sungai Naga di Api-Api, Air Baloi dan Parit Haji Omar di Kayu Ara Pasong, Pontian, hari ini

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Johor dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah.

Menurut Komander Operasi dari BBP Iskandar Puteri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Mohd Khairi Zainuddin, pihaknya menerima panggilan menyelamat dan memindahkan satu keluarga di kampung itu pada pukul 8.42 pagi.

Beliau berkata, seramai 11 anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unitili dan dua bot terlibat dalam operasi itu.

“Kita memindahkan keluarga itu yang terdiri daripada empat mangsa iaitu masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita dewasa selain seorang kanak-kanak lelaki dan satu bayi.

“Mereka dipindahkan ke PPS di Dewan Raya Gelang Patah. Setakat ini operasi menyelamatkan mangsa banjir masih berjalan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here