Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Khairy akui bimbang belum ada kawasan bertanding PRU15 -

Khairy akui bimbang belum ada kawasan bertanding PRU15

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui risau memikirkan kelangsungan kerjaya politiknya kerana belum mempunyai kawasan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan itu berkata, kebimbangannya berhubung perkara itu melangkaui kerisauan Kabinet sama ada mengadakan PRU15 pada tahun ini atau sebaliknya.

“Concern’ (kebimbangan) saya sekarang ini adalah tiada lagi kawasan untuk bertanding (pada PRU-15),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perubatan Dermatologi dan Estetik Asia (ADAMS), di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas beberapa kebimbangan yang dikatakan dibangkitkan Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lalu sebelum bersetuju mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

Antara kebimbangan berkenaan adalah musim banjir, selain mempertimbang keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Awal bulan ini, Khairy mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu bertanding di Rembau.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Pengarah Pilihan Raya BN kemudian mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15, namun tidak menyatakan sama ada di Rembau atau lokasi lain.

Kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua UMNO Bahagian Rembau itu, kedudukan calon dan kerusi bagi BN mahupun UMNO belum dimuktamadkan dan kenyataannya berkaitan Rembau sebelum ini hanya mengenai soal kesiapsiagaan jentera parti.

Dalam reaksi balasnya, Khairy mempertahankan pendedahannya adalah benar dan beliau tidak perlu membuktikannya, sambil menegaskan akan menyelesaikan isu itu secara tertutup.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui terpaksa akur dengan arahan berkenaan walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau.