Serbu bengkel motosikal; Polis Pulau Pinang ingatkan jangan kaitkan sentimen perkauman

0
247

POLIS Pulau Pinang mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak memainkan sentimen perkauman dalam operasi pihak berkuasa berkenaan membanteras bengkel motosikal yang didapati terlibat dengan pengubahsuaian motosikal bagi aktiviti mat rempit.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tindakan penguatkuasan dan pencegahan itu termasuk dalam memerangi aktiviti lumba haram dijalankan berdasarkan risikan dan siasatan pihak polis.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan kononnya tindakan dan serbuan pihak polis berkenaan hanya melibatkan pengusaha bengkel motosikal Melayu.

“Tindakan terhadap mat rempit dan bengkel-bengkel ini bukannya satu tindakan penguatkuasaan secara terpilih, sebaliknya berdasarkan maklumat dan risikan yang dikeluarkan oleh pelumba sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Georgetown hari ini.

Terdahulu beliau turut mengadakan mesyuarat mengenai perancangan strategi bagi memerangi lumba haram peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama 13 jabatan dan agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagainya di IPD Timur Laut berkenaa.

Menurut Mohd. Shuhaily, semua pihak juga harus menerima hakikat yang mana majoriti mereka yang terlibat dalam aktiviti merempit atau lumba haram itu adalah remaja Melayu.

Begitu pun jelasnya, statistik dari Januari hingga Ogos lalu juga mendapati terdapat empat orang Cina turut ditahan kerana terlibat dengan aktiviti ini yang mana jumlah mereka dianggap kecil.

“Sehubungan itu, mana-mana pemilik bengkel yang tidak terlibat dengan pengubahsuaian motosikal untuk aktiviti lumba haram ini tidak perlu bimbang dengan operasi yang dijalankan pihak polis,” katanya.

Tambah Mohd. Shuhaily, bagi mengekang aktiviti lumba haram di Pulau Pinang juga, sebuah jawatankuasa kerja pencegahan dan penguatkuasaan bersama jabatan dan agensi lain turut ditubuhkan.

Jawatankuasa kerja itu jelas beliau, dipengerusikan oleh PDRM serta JPJ manakala bagi jawatankuasa kerja pencegahan pula dianggotai oleh agensi serta jabatan antaranya Jabatan Pendidikan dan Jabatan Perpaduan Negeri, Universiti Sains Malaysia (USM), Pejabat Mufti dan sebagainya.

Bagi jawatankuasa penguatkuasaan pula jelas beliau, ia dianggotai oleh JPJ, PBT, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan sebagainya yang mana penubuhannya bertujuan memastikan aktiviti lumba haram di negeri itu dapat dibanteras sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here