Najib dihantar semula ke Penjara Kajang

0
28

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dihantar semula ke Penjara Kajang setelah selesai menjalani pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

HRC menerusi satu kenyataan berkata, pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang.

Menurutnya, ini susulan hasil pemeriksaan terkini dilakukan terhadap Najib oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi HRC mendapati tahap kesihatan beliau kini berada dalam keadaan yang baik.

“Beliau juga telah diberikan tunjuk ajar oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi HRC dan boleh menjalankan latihan teknik senaman secara kendiri.

“Pakar perunding perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan HRC telah memberikan pelepasan perubatan dan membenarkan beliau dihantar semula ke Penjara Kajang,” kata HRC menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut HRC, pakar perunding yang berkaitan juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) bersama beliau dan ahli keluarga terdekat, di mana mereka telah dimaklumkan situasi terkini keadaan kesihatan serta pelan pemantauan kesihatan beliau.

Katanya, adalah dimaklumkan bahawa beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan dan rawatan rehabilitasi sepanjang keberadaan beliau di HRC.

“Bersesuaian dengan matlamat HRC, kami akan terus komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan bagi memastikan pesakit yang dirawat di sini dapat mencapai tahap potensi yang optimum dan membolehkan seseorang individu mencapai tahap kefungsian yang maksimum,” katanya.

21 September lalu, Jabatan Penjara Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan memaklumkan Najib sedang mendapatkan rawatan rehabilitasi dan pemantauan lanjut di HRC.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here