INGAT lagi video di aplikasi tiktok mengenai gelagat seekor kera yang sangat manja dengan penjaganya.
Telatah kera manja diberi nama Baim itu amat mencuit hati netizen kerana tidak ubah seperti manusia biasa.
Hubungannya dengan penjaga amat manja ibarat seperti sebuah keluarga sendiri.
Namun di sebalik aksi manja dan nakal itu, Baim sebenarnya kini sudah berpisah dengan penjaganya, Norliza Hassan, 38, sejak akhir bulan lalu.
Ketika dihubungi SatuBerita, Norliza memberitahu dalam keadaan sangat berat hati beliau dan keluarganya melepaskan Baim bagi mematuhi undang-undang haiwan liar negara.
“Video itu adalah imbasan kenangan gembira kami. Kami lepaskan Baim selepas mendapat amaran daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) yang disampaikan melalui jiran saya.
“Kebetulan ketika PERHILITAN datang kami tidak ada di rumah. Sebagai menghormati arahan, kami lepaskan,” ujarnya yang terkenal menerusi akaun Tiktok Lyza_kakhangpa_baim.
Menurut Norliza, ibarat berpisah dengan anak begitulah seksa berpisah dengan Baim yang sangat manja dengan anak-anaknya yang lain.
“Kami tidak sampai hati melepaskan Baim ke hutan kerana tahu dia tidak akan boleh hidup sendiri, oleh itu Baim dihantar ke sebuah pusat penjagaan haiwan berdaftar,” katanya.
Keakraban hubungan Baim dengan keluarganya terserlah apabila haiwan itu ‘merajuk’ ketika ditempatkan di pusat jagaan berkenaan.
“Baim sering menangis. Pernah lari dari sangkarnya dan masuk ke hutan, hilang selama tiga hari, namun berjaya ditemukan semula,” ceritanya lagi.
Tidak pernah lelah dalam misinya untuk ‘menghalalkan’ penjagaan Baim, Norliza sedaya upaya untuk mendapatkan permit menjaga haiwan liar.
“Ramai kata untuk kera tiada lesen kerana dikira sebagai binatang perlindungan, ada cakap kena buka lesen menangkap dahulu baru boleh pohon permit belaan. Tapi ramai orang ada bela kera, itu saya tak faham.
“Kalau ada sesiapa boleh tolong saya amat menghargai. Saya dah buntu nak cari jalan, kita tak boleh tinggalkan Baim lama-lama nanti dia lari,” katanya.
Menganggap Baim sebagai ahli keluarga sendiri, Norliza teringat kisah pertemuan kali pertamanya yang menyentuh hati.
“Asalnya ada orang jumpa Baim di tepi jalan, mungkin maknya kena langgar dan tinggal dia seorang. Diberi kepada adik ipar saya sebelum saya menjaganya selepas enam bulan.
“Sewaktu keluarga datang untuk makan beramai-ramai, Baim memang aktif dia sangat suka dan manja walaupun ada sedikit nakal. Boleh dikatakan macam bayi,” kenang Norliza.
Terasa akan ketiadaan haiwan yang sering menjadi teman sewaktu ketiadaan anak-anaknya, suri rumah itu menceritakan mengapa Baim akan sentiasa mendapat tempat istimewa di dalam hatinya.
“Saya ada tiga orang anak tiri semuanya belajar jauh dari rumah, seorang di Jepun, seorang di Perlis, seorang di tahfiz.
“Sekarang ni memang rasa sunyi, Baimlah peneman selama ini,” katanya. -SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.