Salahuddin Ayub dilantik Pengerusi PH Johor

0
31

TIMBALAN Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor yang baharu.

Ahli Parlimen Pulai itu, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram, akan dibantu oleh tiga Timbalan Pengerusi iaitu Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan, Pengerusi DAP negeri Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

Jawatan Setiausaha pula dipegang Faizul Salleh (Amanah), manakala Bendahari oleh S Gopalakrishnan (PKR) dan Ketua Penerangan disandang oleh Sheikh Umar Bagharib Ali (DAP).

“Pakatan Harapan Johor mengadakan mesyuarat baru-baru ini bagi memperkemas struktur kepimpinan PH negeri khususnya selepas PKR menyempurnakan kongres tahunan pemilihan parti.

“Hasil keputusan mesyuarat, PH Johor memutuskan Ahli Parlimen Pulai merangkap Adun Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai Pengerusi PH Johor,” menurut kenyataan bersama PH Johor, hari ini.

PH Johor turut menyatakan kesiapsiagaan jentera parti untuk berdepan segala kemungkinan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here