[VIDEO] Pulau Pinang ke final selepas aksi panas pegawai kejar pengadil

0
367


IMPIAN Pulau Pinang memenangi pingat emas pertama bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) terus bernyala apabila mara ke final selepas mengatasi Wilayah Persekutuan 1-0 pada aksi separuh akhir yang dicemari dengan kekecohan di penghujung perlawanan, malam tadi.

Pada pertembungan di Stadium UiTM Shah Alam itu, jaringan sepakan penalti disempurnakan ketua pasukan Mohd Danial Irfan Mohd Nadzri pada minit ke-40 menjadi perbezaan sekali gus menghampakan Wilayah Persekutuan yang belum pernah merangkul emas sejak edisi pertama pada 1986.

Menuju 90 minit, aksi bertukar panas dengan pemain Wilayah Persekutuan, Muhammad Iman Fakhrullah Zamri, dilayakan kad merah pada minit ke-88 kerana menyepak pemain lawan sebelum keadaan semakin tegang apabila berlaku tolak menolak antara pemain.

Salah seorang pegawai Wilayah Persekutuan turut dilayangkan kad merah selepas melakukan provokasi terhadap pengadil yang menyaksikan beliau mengejar pengadil tersebut di tengah padang selepas diperintah keluar.

Bagaimanapun, suasana menjadi terkawal dengan bantuan pihak polis sebelum permainan bersambung dan keputusan 1-0 kekal berpihak Pulau Pinang.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi menyaksikan juara hatrik dari edisi 2006 sehingga 2010, Terengganu mencipta kemenangan 2-1 ke atas Selangor.

Di awal perlawanan, Selangor tampak lebih agresif melakukan serangan, namun ketinggalan seawal minit kelapan apabila Terengganu membuka tirai jaringan hasil penyudah pemain tengah, Muhammad Muslihuddin ‘Atiq Mat Zaid berpunca dari sepakan sudut.

Kelekaan barisan pertahanan Selangor membawa padah apabila kesilapan pemain menghantar bola  dihidu pemain tengah Terengganu, Muhammad Zahin Raimi Zamani, yang bijak mengawal keadaan sebelum melepaskan rembatan untuk merobek gawang sekali gus menggandakan kedudukan pasukan.

Selangor merapatkan defisit jaringan pada minit ke-62 menerusi tandukan Muhammad Adim Muzahhir Saipu Azuan, namun gagal menemui gol penyamaan yang menyaksikan kedudukan 2-1 kekal berpihak Terengganu untuk melangkah ke final.

Aksi final antara Pulau Pinang menentang Terengganu dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, Jumaat ini sementara Selangor dan Wilayah Persekutuan akan berentap dalam aksi penentuan pingat gangsa di Stadium UKM pada hari yang sama.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here