PRU15 tidak diadakan pada musim banjir – Mahdzir Khalid

MESYUARAT Jemaah Menteri hari ini memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan ketika negara berhadapan musim banjir.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata mesyuarat yang berlangsung itu banyak memberi tumpuan kepada persediaan untuk menghadapi banjir di negara ini.

Beliau berkata, selain itu mesyuarat juga ada membincangkan mengenai tarikh PRU15, bagaimanapun ia terpulang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh PRU15.

“Biarlah Perdana Menteri yang umumkan kerana beliau berhak untuk menentukan tarikh (PRU15) yang sesuai.

“Kita memahami berkaitan bencana banjir dan Perdana Menteri juga mengambil kira atas nasihat daripada pihak Jabatan Meteorologi Malaysia.

“Di media sosial, cerita mengenai masalah banjir ini sudah jadi bermacam-macam (cerita), ada yang mengatakan pada Oktober, November dan Disember ini.

“Seeloknya, sumber yang tepat itu biarlah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB), pada Khamis, lapor BH Online.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan Mesyuarat Jemaah Menteri turut membincangkan mengenai tarikh PRU15, namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Shahidan dilaporkan berkata, perkara berkaitan pembubaran Parlimen dan pilihan raya berada dalam bidang kuasa Perdana Menteri.

Ismail Sabri sebelum ini dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung pembubaran Parlimen.

Katanya, berdasarkan semangat dan sokongan Pemuda Barisan Nasional (BN) ketika ini, beliau yang juga Naib Presiden UMNO akan berbincang dengan segera bersama Presiden dan Top Five.